Terima kasih kerana melawat blog ini. Anda merupakan pelawat yang ke:

 


MISI
Membangun Potensi Murid Melalui Pendidikan Berkualiti Berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
VISI
SMK Padang Berampah menjadi Sekolah Terbaik di Daerah Sipitang menjelang tahun 2013.
NILAI
* Teamwork
* Akauntabiliti
* Profesionalisme
* Integriti
Pautan ke Blog Sekolah Lain
PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA
Sunday, August 30, 2009

Alhamdulillah, syukur ke hadarat Ilahi kerana masih diberi peluang untuk kita berpuasa pada tahun ini. Pada hari ini 30 Ogos 2009 bersamaan 09 Ramadhan 1430H, dalam sedar atau tidak sedar umat Islam di Malaysia telah Sembilan hari berpuasa.

Namun dalam keghairahan berpuasa kadang-kadang kita lupa dan alpha terhadap beberapa perkara yang mungkin boleh membatalkan puasa kita. Oleh hal yang demikian, sebagai peringatan buat kaum muslimin sekalian di bawah ini dinyatakan beberapa perkara yang membatalkan puasa sebagai peringatan dan renungan untuk kita semua agar puasa kita diterima oleh Allah s.w.t.

1. Jimak .

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA katanya : Telah datang seorang lelaki berjumpa Nabi SAW lalu berkata : Binasalah saya wahai Rasulullah ! Nabi bertanya : Apa yang membinasakan kamu ? Katanya saya telah menyetubuhi isteri saya pada siang hari bulan Ramadhan. Nabi bertanya : Adakah kamu sanggup memerdekakan seorang hamba ? Jawabnya : Tidak. Tanya Nabi lagi : Adakah kamu sanggup puasa dua bulan berturut-turut ? Jawabnya : Tidak . Tanya Nabi lagi : Adakah kamu sanggup memberi makan enam puluh orang miskin ? Jawabnya juga tidak. Kata Abu Hurairah : Kemudian Nabi duduk, lalu dibawa datang sekarung buah tamar, dan Nabi bersabda : Ambillah ini dan sedekahkan. Maka lelaki itu bertanya : Adakah kepada orang yang lebih miskin daripada saya wahai Rasulullah ? Demi Allah ! Tidak ada di Madinah ini orang yang lebih berhajat / lebih miskin daripada saya ! Maka Nabi tergelak sehingga nampak gigi siungnya. Kemudian baginda bersabda : Pergilah, dan berilah makan kepada ahlimu.

(Dari hadis riwayat Muslim dan lain-lainnya)

Maksud dari riwayat di atas : Bahawa seseorang yang bersetubuh dengan isterinya pada siang hari Ramadhan dengan sengaja dan mengetahui haramnya wajiblah atasnya kafarah, iaitu memerdekakan seorang hamba, dan kalau tak kuasa / tak ada, wajib atasnya puasa dua bulan berturut-turut. Kalau tidak kuasa, maka wajib atasnya memberi makan enam puluh orang miskin, secupak bagi tiap-tiap seorang. Adapun perempuan yang disetubuhinya itu tidak terkena kafarah atasnya, mengikut faham mazhab Syafie dan Auza'ie , tetapi pada fahaman mazhab-mazhab yang lain : Wajib atas perempuan itu kafarah, kerana ia menyertai sama perbuatan jimak.

Mengikut mazhab Syafie, hanya perbuatan jimak sahaja yang mewajibkan kafarah, tetapi imam Malik dan Abu Hanifah berkata : Orang yang berbuka puasa dengan sengaja makan / minum, wajib (dikenakan) kafarah seperti batal puasa dengan persetubuhan.

2. Makan Minum

Ertinya : Dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, sabdanya : Sesiapa berbuka sehari dari Ramadhan dengan tiada keuzuran yang dibenarkan Allah baginya, maka tidak ada ganti baginya (untuk mendapatkan pahala yang begitu besar yang telah luput itu) dengan puasa setahun, sekalipun ia sanggup berpuasa sepanjang tahun itu.

Mengikut faham Jumhur (termasuk As-Syafie) orang yang sengaja berbuka ini, wajib atasnya Qada' dan tidak wajib kafarah. Dalam mazhab Malik dan Hanafi : Wajib kafarah. Dan sepakat imam-imam bahawa berbuka dengan sengaja tanpa keuzuran adalah haram.

Perhatian :

i . Makan / Minum kerana terlupa, tidak membatalkan puasa.

Sabda Nabi SAW :

مَنْ نَسِيَ وَهُوَ صَائِمٌ, فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ, فَلْيُتِمّ صَوْمَهُ. فَإِنّمَا أَطْعَمَهُ اللّهُ وَسَقَاهُ

Ertinya : Sesiapa yang terlupa, sedang ia berpuasa, lalu ia makan atau minum, maka hendaklah ia teruskan puasanya. Sebenarnya Allah yang memberinya makan dan minum.

ii. Jika ia makan dan minum kerana disangkakan telah maghrib, tetapi ternyata belum lagi maghrib, nescaya batal puasanya dan wajib Qadha' .

Dari Asma' Bt. Abi Bakar RA katanya : Kami telah berbuka di masa Nabi SAW pada hari redup (kerana menyangka telah maghrib), kemudian kelihatan matahari masih ada, lalu ditanya orang yang meriwayatkan hadis ini (Hisyam) : Adakah mereka telah disuruh Qadha' ? Maka katanya : Ya, Mesti Qadha'.

(Riwayat Al-Bukhari)

iii. Berdasarkan riwayat ini, imam empat sependapat mengatakan : Sesiapa yang menyangka telah maghrib lalu berbuka, kemudian ternyata belum maghrib, wajib ia berhenti dari makannya kerana menghormati waktu puasa dan wajib atasnya Qadha' kerana puasanya telah batal, dan tidak ada kafarah ke atasnya. Begitu juga orang yang makan kerana menyangka belum subuh lagi, kemudian ternyata siang telah menjelang, maka wajiblah ia menahan diri dari yang membatalkan puasanya sepanjang hari dan wajib atasnya Qadha' kerana puasanya telah rosak.

Termasuk dalam makan minum yang membatalkan puasa ialah :

Sampainya sesuatu ke dalam rongga badan (perut) dengan sengaja, melalui pilihan sendiri dan tahu ... dan sampainya ke dalam rongga / perut melalui saluran masuk yang biasa di tubuh yang dikira oleh syarak, seperti mulut, hidung dan telinga, termasuklah :

iv. Menghisap rokok / tembakau, candu, dadah dan sebagainya. Dan menghisap (nusyuk) melalui hidung.

v. Suntikan melalui dubur, manakala suntikan di kulit atau urat darah, tidak membatalkan puasa kerana ianya tidak masuk ke dalam rongga perut dan tidak melalui saluran biasa. Tetapi lebih baik, jika ada kemudahan , suntikan dilakukan selepas waktu berbuka.

iv. Suntikan makanan atau menambah vitamin adalah membatalkan puasa.

vii. Menelan sisa makanan yang terlekat di celah-celah gigi. Sedang ia boleh membezanya dan boleh membuangnya, adalah membatalkan. Begitu juga tertelan air kerana berkumur-kumur atau istinsyak (menghisap air ke hidung) yang melebihi kerana termasuk dalam sengaja.

viii. Menelan liur, tertelan lalat dengan tidak sengaja, tertelan debu jalan, asap kayu dan lain-lain jenis asap / gas yang tidak boleh dielak adalah tidak membatalkan.

3. Muntah dengan sengaja

Membatalkan, kerana sabda Nabi SAW :

مَنِ اسْتَقَاءَ, فَعَلَيْهِ الْقَضَاءُ

Yakni : Sesiapa muntah dengan sengaja hendaklah ia qadha' puasanya. Adapun muntah dengan tidak sengaja, maka tidaklah rosak puasanya. Mengeluarkan balgham (kahak) dari dalam dan membuangnya keluar juga tidak merosakkan puasa.

4. Keluar mani dengan sengaja

Dengan apa cara yang pada adatnya boleh membawa kepadanya, atau dengan sengaja memandang, atau berfikir-fikir, cium, sentuh dan sebagainya adalah membatalkan puasa, tetapi jika keluar kerana bermimpi tidak membatalkan.

Labels:

posted by Pena Mutiara @ 6:15 PM   0 comments
Adab Berpuasa Dan Solat Terawih
Friday, August 28, 2009
Adab berpuasa dan solat terawih

Oleh NAZMI AIDARUS

Sumber: http://www.utusan.com.my/

Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:

1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;

3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.

Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;

4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai', sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.

Kenyang

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..

Sabdanya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)

Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”

As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;

7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;

8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);

9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.

Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat terawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.

Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajib-wajib' solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.

Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.

Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat terawih itu sehinggalah selesai sama ada 20 rakaat ataupun lapan rakaat. Sabda Rasulullah s.a.w., Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala kiam semalaman. (Riwayat an-Nasaei)

- NAZMI AIDARUS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Negeri Terengganu.

Labels:

posted by Pena Mutiara @ 10:34 PM   0 comments
Kelebihan Berpuasa Dari Sudut Kesihatan
Thursday, August 27, 2009

Sebenarnya bagi orang-orang yang tahu, nilai dan kebaikan puasa itu memang banyak. Antara kebaikan-kebaikan puasa untuk kesihatan ialah:

1. Puasa memberi kesegaran kepada fizikal dan mental seseorang.
2. Puasa bertindak menghancurkan sisa-sisa racun atau toksik dalam
darah manusia.
3. Puasa akan memberi kesegaran pada otot-otot dan akan membuat
anda sihat, segar dan bertenaga.
4. Puasa akan memeanjangkan umur anda.
5. Puasa akan membersihkan diri anda dari dosa.
6. Puasa akan membantu menghakiskan keracunan yang berada
dalam tubuh badan manusia.
7. Puasa akan memberi keseimbangan dalam darah.
8. Bila darah kita terlampau berasid, puasa dapat menurunkan PH dan
menyebabkan darah kembali alkali.
9. Puasa boleh menurunkan darah tinggi.
10.Puasa boleh menurunkan berat badan.
11.Puasa membersihkan segala kotoran dalam badan.
12.Puasa boleh mencerahkan pemandangan mata.

Ingatlah bahawa puasa akan memberi syafaat kepada kita pada Hari Perhitungan nanti.

Selamat Berpuasa

Labels:

posted by Pena Mutiara @ 6:08 PM   0 comments
Salam Ramadhan al-Mubarak Dan Selamat Berpuasa
Friday, August 21, 2009
“ Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. “ (Surah al-Baqarah : 183)"

Berpuasa pada bulan ramadhhan merupakan salah satu daripada Rukun Islam.Syariat ini diturunkan kepada umat Muhammad s.a.w. pada 10 Syaaban tahun ke-2 Hijrah. Makanya, wajiblah ia dilakukan oleh semua orang Islam.

Puasa dari segi bahasa bermaksud menahan diri daripada sesuatu. Manakala puasa dari segi istilah syarak pula bermaksud menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan pusa bermula daripada terbit fajar sadiq sehingga terbenam matahari yang di sertakan dengan niat . Puasa juga merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap individu Muslim pada bulan Ramadhan.

Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam bukunya Ihya al-'Ulumuddin telah membahagikan puasa itu kepada 3 tingkatan:

  1. Puasanya orang awam (shaum al-'umum): menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum.
  2. Puasanya orang khusus (shaum al-khusus): turut berpuasa dari panca indera dan seluruh badan dari segala bentuk dosa.
  3. Puasanya orang istimewa, seperti khusus (shaum al-khawasi al-khawas): turut berpuasa 'hati nurani', iaitu tidak memikirkan sangat soal keduniaan.
Alhamdulillah, masih diberi peluang untuk beramal sebanyak-banyaknya dan beribadah di bulan mulia dan barakah. Bersyukur, kehadrat allah. Peluang ini tidak dilepaskan untuk memohon keampunan, mensyukuri dan menikmati ibadah sebenar sebagai seorang yang beragama islam.

Akhir sekali dikesempatan ini saya memohon ampun dan maaf kepada semua rakan-rakan blog dan pembaca setia dan tidak setia blog ini jika ada kesalahan yang berbentuk verbal atau penulisan.Semoga puasa kita mendapat keberkatan dari Allah s.w.t...Sekian.

Labels:

posted by Pena Mutiara @ 10:32 PM   0 comments
Al-Fatihah Buat Allahyarham Shamsudin Hj Aching
Monday, August 17, 2009
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” Surah Ali-Imran ayat 185.

Tanggal 16 Ogos 2009, Cikgu Shamsudin Hj Aching yang juga dikenali dengan panggilan Dr Sam telah meninggalkan kita semua buat selama-lamanya. Beliau telah kembali ke rahmatullah kerana penyakit asma. Allahyarham Shamsudin pernah berkhidmat di SMK Padang Berampah sekitar tahun 2007.

Sama-sama lah kita sedekahkan al-Fatihah, semoga rohnya tergolong di kalangan orang-orang yang soleh...Amin.
posted by Pena Mutiara @ 9:30 PM   0 comments
Kanak-kanak 3 Tahun Mangsa Ke-9 H1n1
Wednesday, August 5, 2009
JASIN 4 Ogos - Pasangan suami isteri tidak menyangka demam yang menyerang anak sulungnya ketika menyambut ulang tahun kelahiran ketiga pada 26 Julai lalu berlarutan sehingga membawa maut.

Menceritakan detik-detik menyedihkan itu, Samsuddin Abdul Hamid, 27, bapa kepada kanak-kanak malang itu memberitahu, beliau telah merujuk anaknya ke klinik pakar dan sebuah hospital swasta di Ayer Keroh, Khamis lalu.

Beliau berkata, anaknya itu kemudian dimasukkan ke wad sebelum dipindahkan ke Hospital Melaka.

''Saya langsung tidak menyangka anak saya dijangkiti H1N1 kerana tidak pernah membawanya keluar kecuali menyerahkan kepada pengasuh di Taman Bertam Jaya, Cheng dekat sini Februari lalu,'' katanya.

Samsuddin yang ditemui bersama isterinya, Siti Suhaila Ahmad, 27, berkata, masih terngiang-ngiang suara Iffah Syazwina menyanyikan lagu selamat hari jadi seminggu sebelum dia diserang demam tersebut.

Katanya, kali terakhir beliau membawa anaknya bersiar-siar adalah pada Februari lalu dan langsung tidak menyangka dia meninggal dunia semalam akibat jangkitan virus selesema babi.

Menurut beliau, dia hanya mengetahui anaknya itu positif influenza A (H1N1) setelah disahkan doktor menerusi khidmat pesanan ringkas malam Ahad lalu.

Bagaimanapun, menurutnya, keadaan Iffah dilaporkan semakin tenat sebelum meninggal dunia pada pukul 4.30 petang di Hospital Melaka, semalam.

"Memang sukar untuk saya terima kenyataan itu kerana tidak pernah membawa arwah ke mana-mana kerana bimbang dijangkiti H1N1," katanya ketika ditemui di rumah keluarga isterinya, di Kampung Parit Putat Benteng, Sungai Rambai di sini, hari ini.

Iffah Syazwina merupakan mangsa kesembilan maut akibat wabak itu setakat ini.
Sumber : Utusan Malaysia Online

Labels:

posted by Ustaz Ahmad Bakri @ 9:41 AM   0 comments
Pautan PENTING
Penulis
1. SMKPB
2. Mr. Etok Gatz
3. Editor MB
4. Unknown
5. Pena Mutiara
6. elnino moona
Kiriman Terdahulu
Capaian
E-Surat Khabar
Pautan
Pautan ke Laman Ilmu
http://smpbsipitang.blogspot.com