PUTRAJAYA: Sistem penggredan baru bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diluluskan lebih mudah untuk mengkategorikan pelajar cemerlang bagi kelayakan biasiswa dan mengikuti pengajian di universiti. Melalui penilaian baru itu, pelajar akan diberikan gred berdasarkan kecemerlangan peperiksaan dengan kategori cemerlang diberikan gred A+, A, A-, B+, B, C+, C, D, E dan G. Gred baru itu akan menggantikan gred lama iaitu 1A, 2A, 3B, 4B, 5C, 6C, 7D, 8E dan 9G. Penilaian baru itu akan membabitkan semua calon SPM yang akan menduduki peperiksaan itu tahun ini. Walaupun dilaksanakan tahun ini, proses ini tidak membabitkan perubahan dasar sedia ada dan calon tidak perlu khuatir kerana sistem gred ini hanya memberi perincian kepada pecahan tahap pencapaian mereka yang menduduki peperiksaan. . Kaedah ini menggantikan sistem sekarang yang tidak mempunyai pecahan (gred) untuk calon cemerlang.
Sebelum ini jumlah pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dengan jumlah keseluruhan A begitu ramai dan meningkat setiap tahun. Berdasarkan sistem itu, adalah sukar bagi Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi memilih mereka yang benar-benar cemerlang dan layak menerima pembiayaan pengajian. Penilaian semula gred SPM itu juga adalah sejajar dengan langkah kerajaan menyediakan Biasiswa Perdana yang dikhususkan kepada pelajar cemerlang dalam akademik.Perincian gred juga memudahkan kementerian menyediakan program terbaik kepada pelajar selain memberikan khidmat rundingan yang sesuai dengan program yang bakal diikuti mereka di universiti sama ada dalam atau luar negara. Pihak kementerian sudah memaklumkan kepada semua pengetua supaya memberi penerangan mengenai sistem baru itu kepada calon yang akan menduduki peperiksaan SPM tahun ini. Ibu bapa juga boleh merujuk kepada sekolah untuk maklumat lanjut.
Perubahan ini akan menghasilkan pelajar yang lebih berdaya saing dalam peperiksaan dan menyuntik semangat mereka untuk memberikan yang terbaik untuk dipilih mengikuti program latihan dan layak menerima pembiayaan seperti diumumkan Perdana Menteri,Baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan bahawa satu kategori baru akan diwujudkan dalam pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang memberi keistimewaan kepada pelajar berdasarkan merit semata-mata dan bukan bangsa.
Labels: Berita |